Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencabar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli supaya mengulangi tuduhan di luar Dewan Rakyat bahawa Pengerusi dan Timbalannya mempunyai hubungan baik dan mengenali rapat pembekal dakwat kekal.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Pengarah Strategi PKR itu supaya berbuat demikian.

Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pandan yang juga Pengarah Strategi PKR itu tidak wajar kerana mereka tidak dapat menjawabnya di Dewan Rakyat.

"Menyedihkan bahawa nama kami disebut dan kami tidak dapar menjawabnya di dalam Dewan. Ini satu perbezaan besar.

"Kami buat keputusan mencabar Rafizi supaya ulang kenyataan itu di luar Dewan Rakyat atau di mana-mana beliau suka sebagaimana dia sebut dalam Parlimen.

Beliau memberikan tempoh satu minggu mulai dari hari ini. "Jika beliau benar anak jantan dan bertanggungjawab, ulang semula apa yang dituduhkan di luar dewan," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut hari ini.

Rafizi sebelum ini mendakwa pembekal dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ada hubungan rapat dengan kedua-dua pegawai tertinggi SPR.

"Kami memang tiada hubungan rapat dengan pembekal berkenaan dan disini saya membuat keputusan mencabar Rafizi supaya mengulang balik kenyataan itu di luar Dewan Rakyat atau dimana-mana dia suka sebagaimana yang disebutnya dalam Parlimen iaitu melibatkan nama kami sebagai Pengerusi dan Datuk Wan Ahmad sebagai Timbalan Pengerusi yang menuduh kami mempunyai hubungan yang rapat dengan pembekal dakwat kekal bagi PRU lalu," tambah beliau.

Dakwaan Rafizi itu dinafikan Abdul Aziz, malah menyifatkannya sebagai fitnah.

"Dakwaan berkenaan adalah sangat serius kepada kami, keluarga dan SPR dan kami ingin membersihkan nama yang telah dibabitkan dengan orang yang membekalkan dakwat kekal ini bagi PRU lalu," tambah Abdul Aziz.

Sebelum in Rafizi telah pun mengulangi tuduhan beliau di luar Parlimen mengenai isu pembekal dakwat kekal.