Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengenal pasti sama ada pengundi paling tua dalam daftar pemilih berusia 150 tahun masih hidup atau sebaliknya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata secara logiknya tidak mungkin ada individu yang masih hidup pada usia sebegitu.

"Walaupun perdana menteri kita berusia 93 tahun, tetapi individu ini berusia 150 tahun. Jika difikir secara logik, tidak mungkin kita masih hidup pada usia 150 tahun.

"Kita akan pastikan perkara seperti ini dibersihkan daripada daftar pemilih,” katanya selepas Majlis Pembukaan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya: Langkah Ke Depan Untuk Pilihan Raya Yang Bebas dan Adil di Parlimen pada Jumaat.

Selain itu, beliau juga menjelaskan SPR sedang meneliti sama ada seramai 62,000 pengundi berusia 90 tahun ke atas dalam daftar pemilih masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha berterusan SPR untuk membersihkan daftar pemilih yang disifatkan sebagai tugas paling utama sejak minggu pertama dilantik menjadi pengerusi suruhanjaya itu.

“Saya tidak pasti jumlah sebenar mereka yang sudah meninggal dalam daftar pemilih, tetapi ada 73,000 individu berusia lebih 90 tahun dalam daftar pemilih, dengan yang paling tua berumur 150 tahun.

“Kami difahamkan yang kira-kira 11,000 daripada 73,000 pengundi itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Jadi, mereka masih hidup, meninggalkan baki lagi 62,000 pengundi. Saya berjaya capai perkara ini dalam sebulan, jadi harap bersabar,” katanya lagi.

Sebelum PRU-14, DAP antara yang membangkitkan isu seorang pengundi berusia 150 tahun dalam daftar pemilih SPR, Mohd Said Mohd Arshad, dengan tarikh lahir 1 Januari 1868, yang didaftarkan di daerah di kerusi negeri Pujut, dalam Parlimen Miri, Sarawak.

Mengenai sistem pembersihan daftar pemilih automatik bagi pengundi yang meninggal dunia, Art Harun berkata pihaknya sudah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mewujudkan sistem seumpamanya.