Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon maaf dan bersimpati atas kejadian keracunan makanan dalam kalangan para pelajar Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang yang menghadiri program anjuran suruhanjaya itu.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata siasatan telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bagi mengenal pasti punca kejadian.

“SPR menzahirkan rasa kesal, memohon maaf dan bersimpati atas kejadian yang menimpa para pelajar Politenik Balik Pulau.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Hospital Balik Pulau, seramai 85 pelajar disahkan mengalami keracunan makanan dan daripada jumlah tersebut, 84 pelajar menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang pelajar dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut,” kata Azhar dalam kenyataan tersebut.



Pihak SPR juga mengucapkan penghargaan atas bantuan yang diberikan JKN Pulau Pinang, Hospital Balik Pulau, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Politeknik Balik Pulau dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menangani kejadian tersebut.

“Para pelajar dan tenaga pengajar yang terlibat dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya masih berasa tidak sihat dan terdapat tanda-tanda keracunan makanan," ujar beliau.



Pada Rabu, dilaporkan lebih 57 pelajar Politeknik Balik Pulau dikejarkan ke hospital dipercayai akibat keracunan makanan.

Mereka sebelum itu menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan SPR di politeknik terbabit bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.


Azhar berkata SPR menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) menganjurkan Program Pendidikan Pengundi bersama pelajar politeknik tersebut bagi memberi pendedahan dan pendidikan tentang proses pilihan raya di Malaysia melibatkan 207 pelajar.

“SPR melantik syarikat pembekal makanan tempatan bagi menyediakan makan tengah hari kepada pelajar, tenaga pengajar dan petugas SPR ketika program itu,” katanya.

Semua pelajar yang terlibat dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Balik Pulau pada Rabu.