Skip to main content

Malaysia

Agong terima menghadap MB Johor, urusan kerajaan negeri terus berjalan meskipun Dewan Negeri dibubar

URUSAN KERAJAAN SEMENTARA TETAP BERLANGSUNG MENJELANG PILIHAN RAYA  Setelah Dewan Negeri Johor dibubarkan, pentadbiran negeri akan beroperasi pada tahap yang minima sementara pilihan raya diadakan._IG officialsultanibrahim
Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, pada Rabu (10 Jun). - Gambar Instagram @officialsultanibrahim

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi mempersembahkan taklimat urusan semasa kerajaan negeri dalam tempoh pentadbiran sementara susulan pembubaran Dewan Negeri Johor.

Sesi menghadap tersebut berlangsung di Istana Pasir Pelangi, di sini, pada Rabu (10 Jun), menurut hantaran di akaun Instagram Official Sultan Ibrahim, hari ini.

Hantaran tersebut berkata, sesi menghadap berkenaan merupakan sebahagian daripada pertemuan berkala bersama Seri Paduka Baginda yang tetap diteruskan dalam tempoh kerajaan sementara selepas pembubaran Dewan Negeri.

Hantaran berkenaan turut menyebut, meskipun Dewan Negeri telah dibubarkan, pentadbiran kerajaan negeri tetap berjalan seperti biasa, walaupun pada tahap minimum.

Kata hantaran itu lagi, urusan harian kerajaan negeri terus diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kelangsungan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Menteri Besar Johor sebelum ini mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pembubaran itu membuka laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh ditetapkan, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penting termasuk hari penamaan calon dan hari mengundi dalam masa terdekat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement