KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab menentukan pembahagian 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata GPS secara dasar bersetuju dengan langkah bagi mendapatkan semula 35 peratus kerusi itu seperti dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata nisbah pembahagian antara kedua-dua negeri harus ditentukan mengikut pecahan yang sama seperti sekarang iaitu Sarawak memiliki 31 kerusi manakala Sabah 25.

"Soal di mana kerusi itu, kita serahkan kepada SPR untuk tentukan kerana tugas kita adalah kita mahu semangat Mesyuarat Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipertahan.

"Malaysia kini ada 31 juta penduduk. Sabah dan Sarawak sahaja ada lebih kurang enam juta tetapi berdasarkan angka itu, kita mempunyai kurang daripada 30 peratus kerusi Parlimen. Jika tidak ada 35 peratus kerusi, mereka (Ahli Parlimen Semenanjung) boleh meminda Perlembagaan (tanpa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak)," katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2022 di sini hari ini.

Beliau juga berkata pihaknya tidak tergesa-gesa untuk tuntutan itu dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 kerana yang penting ketika ini adalah prinsip MA63 berhubung perkara tersebut difahami dengan jelas.

Langkah mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak bakal membolehkan kedua-dua negeri memiliki 78 daripada 222 kerusi.

-- BERNAMA