KUALA LUMPUR: Isteri dan dua anak lelaki tokoh konglomerat negara, Tun Daim Zainuddin akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Isteri Daim, Toh Puan Naimah Khalid dan dua anaknya akan memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, pagi ini.

Perkara itu disahkan peguam Daim, Rajesh Nagarajan.

"Ya saya boleh sahkan. Kami akan berada di sana sekitar pukul 10.30 pagi untuk diambil keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya," katanya.

Rajesh turut menberitahu, satu sidang media akan diadakan kira-kira jam 10.15 pagi di luar ibu pejabat SPRM hari ini.

Sebelum ini, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan merupakan antara yang disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan ke atas Daim juga dijalankan SPRM susulan pendedahan berhubung kekayaannya dalam Kertas Pandora.

Dalam pendedahan itu, syarikat dan firma pemegang amanah yang dimiliki oleh anak-anak, isteri atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya RM141 juta.

Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di ibu negara, yang dikatakan milik keluarga Daim.