KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penipuan oleh sebuah syarikat pembekalan di Kedah yang dipercayai menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan beras di negara ini, sebelum ini.

Menurut sumber, syarikat terbabit telah mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Kata sumber itu, berdasarkan kontrak tersebut, syarikat terbabit telah membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta bagi membiayai projek itu beberapa tahun lalu.

"Pengarah syarikat tersebut dipercayai telah berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri terbabit untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta namun pembekalan tersebut tidak dibuat.

"Syarikat tersebut dipercayai telahpun menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi," katanya.

Kata sumber itu lagi, suspek terbabit juga dikatakan telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu kepada pihak bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman.

Beliau dalam pada itu berkata, SPRM belum membuat tangkapan buat masa ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.