KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang diteliti secara mendalam dari pelbagai aspek berhubung cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah satu agensi penguatkuasaan di bawah Suruhanjaya Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, susulan itu Jawatankuasa Pro-tem telah pun ditubuhkan bagi membincangkan hala tuju cadangan itu. 

"Selain daripada itu, pada 2 Mei tahun ini, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri (Datuk Seri Azalina Othman Said), dan dihadiri Pesuruhjaya AEIC, Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki), dan Jabatan Peguam Negara, antara lain telah pun diadakan untuk mendapat pandangan seterusnya tentang isu yang dibangkitkan ini.

"Pada 17 Mei, satu perbincangan di peringkat 'working level' telah pun diadakan untuk membincangkan 'terms of reference' berkenaan isu ini juga," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang meminta menyatakan apakah Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri ke-10 mahu meletakkan SPRM di bawah EAIC, sebagai langkah untuk benar-benar mewujudkan badan bebas (SPRM), serta punya kuasa kawalan tatatertib efektif dan berkesan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata Jawatankuasa Pro-tem yang dianggotai oleh semua pihak berkepentingan akan mengesyorkan hasil dapatan bagi mendapatkan ketetapan dasar oleh Jemaah Menteri kelak.

Jelas beliau, satu mesyuarat kerja akan diadakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM dalam masa terdekat bagi meneliti pandangan dan cadangan daripada semua agensi berkepentingan dan badan bukan Kerajaan (NGO) berhubung dengan perkara tersebut.

EAIC ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang telah diwartakan pada 3 Sept 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 2011.

Ketika ini, terdapat 21 agensi penguatkuasaan disenaraikan di bawah Jadual Akta 700 dan pemakaiannya kepada SPRM telah dikecualikan melalui peruntukan di bawah subseksyen 1(5) Akta 700.