KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memohon Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail untuk membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan individu bergelar ‘Datuk Seri’ menyogok Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk lompat parti.

Selain Natrah, SPRM berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan berkenaan juga diminta tampil memberi aduan kepada badan itu, sekiranya perkara itu benar-benar dianggap rasuah.

“Aduan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, mengenai kewajiban melapor transaksi penyogokan.

“SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.


Baru-baru ini, Natrah mendakwa terdapat dua individu termasuk salah seorang daripada mereka kononnya bergelar Datuk Seri, telah berjumpa dengan beliau dan bertanya sekiranya mahu menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Natrah berkata, beliau tidak akan meninggalkan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya dalam menjayakan Agenda Reformasi  yang menjadi asas dan pegangan parti itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti sebenar dua individu berkenaan dan hanya melaporkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PKR.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan mendakwa terdapat penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

BACA: Majlis Presiden PH kecam agensi kerajaan digunakan sebagai senjata politik

BACA: Nafi tohmahan dijadikan 'senjata politik', dakwaan tidak bertanggungjawab - SPRM

Menerusi satu kenyataan media, mereka mendakwa terdapat siri tindakan daripada agensi termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain memberi tekanan terhadap Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang, pegawai-pegawai malah ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, SPRM dan LHDN menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, selain menjelaskan tanggungjawab mereka adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.