Ringkasan AI
- SPRM menafikan dakwaan bahawa seorang pegawai kanannya menekan Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk menyelesaikan isu penceraian dengan suaminya semasa siasatan dijalankan. Pegawai tersebut tidak pernah terlibat dalam penyiasatan kes itu.
- Pegawai SPRM yang dituduh telah membuat laporan kepada PDRM dan MCMC berhubung kandungan video yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat. SPRM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat.
- Seorang aktivis hak asasi manusia mendakwa wujud unsur tekanan dan campur tangan tidak wajar daripada SPRM dalam kes kehilangan ahli perniagaan tersebut, termasuk dakwaan bahawa Pamela dijanjikan siasatan akan dihentikan jika beliau menyelesaikan isu penceraian dengan suaminya.
Sebaliknya SPRM menjelaskan, hasil siasatan dalaman mendapati pegawai berkenaan tidak pernah terlibat dalam penyiasatan kes itu, malah tidak pernah berjumpa dengan wanita berusia 42 tahun itu.
"Sehubungan itu, pegawai terbabit sudah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan video yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat.
"Beliau juga menafikan segala tuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut terhadap penyebar kandungan fitnah tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Justeru, SPRM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan berunsur fitnah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat dan mengganggu siasatan kes itu yang kini disiasat sebagai kes orang hilang oleh pihak polis.
Terdahulu, seorang peguam yang juga aktivis hak asasi manusia menerusi sebuah video mendakwa wujud unsur tekanan dan campur tangan tidak wajar daripada SPRM dalam kes kehilangan ahli perniagaan itu.
Dalam dakwaannya, aktivis terbabit menyatakan bahawa Pamela djanjikan siasatan terhadapnya akan dihentikan sekiranya beliau bersetuju untuk menyelesaikan isu penceraian dengan suaminya.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan SPRM yang dikatakan meletakkan Pamela dan suaminya dalam satu bilik semasa sesi siasatan dijalankan, di mana seorang pegawai SPRM didakwa menggesa pasangan itu agar 'menyelesaikan penceraian pada waktu itu juga.'
Pada 9 April, Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing, untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan dan polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, semalam berkata, sekurang-kurangnya lapan individu dan lima buah kenderaan terlibat dalam kes penculikan Pamela. Beliau juga tidak menolak kemungkinan kes penculikan itu dirancang oleh Pamela sendiri.
