Skip to main content

Malaysia

SPRM, PDRM bekerjasama tangani isu MyEG, Zetrix AI Berhad

SPRM mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu MyEG dan Zetrix AI. - Gambar hiasan/BERNAMA
SPRM mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu MyEG dan Zetrix AI. - Gambar hiasan/BERNAMA

Advertisement

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama rapat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu membabitkan MyEG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan rasmi berkaitan isu tersebut pada 7 Oktober lalu.

Katanya, SPRM turut mengambil maklum bahawa isu berkenaan sedang disiasat oleh PDRM.

"Sehubungan itu, SPRM akan bekerjasama rapat dengan PDRM bagi meneliti dan melaksanakan perkongsian maklumat dalam menyiasat perkara ini berdasarkan kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasa pihak polis.

"PDRM akan menyalurkan apa-apa maklumat sekiranya wujud elemen rasuah untuk tindakan SPRM selanjutnya," katanya hari ini.

Justeru, SPRM mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat lanjut berkaitan isu tersebut.

Jelasnya, pada masa yang sama, SPRM menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini selain tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.

"SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan akan melaksanakan siasatan dengan bebas, adil serta berlandaskan undang-undang," ujarnya.

8 Oktober lalu, media melaporkan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim membuat laporan kepada SPRM berhubung isu membabitkan MyEG dan Zetrix AI Berhad.

Pada 5 Oktober lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan terbabit walaupun 35 peringatan telah diberikan, selain beberapa siri libat urus diadakan oleh pihak berkuasa sejak Mei lepas. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement