Skip to main content

Malaysia

MOT gantung MYEG, Zetrix AI susulan tunggakan RM314 juta

Loke (tengah) ketika bercakap pada sidang media susulan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di Kementerian Pengangkutan. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Loke (tengah) ketika bercakap pada sidang media susulan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di Kementerian Pengangkutan. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Pengangkutan menggantung perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa hari ini.
  • Keputusan dibuat selepas syarikat gagal memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta dalam tempoh ditetapkan.
  • Perkhidmatan JPJ kepada rakyat tidak terjejas kerana urusan masih boleh dilakukan melalui saluran alternatif seperti MyJPJ dan kaunter JPJ.

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan melalui saluran My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 adalah RM314 juta, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT.

"MYEG telah dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak tahun 2000.

"Syarikat tersebut bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata MOT dan JPJ telah mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak Mei lalu bersama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, sebanyak 35 notis peringatan turut dikeluarkan selain tempoh penyelesaian tunggakan ditetapkan kepada syarikat berkenaan.

"Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat telah menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu.

"Walau bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata MOT dan JPJ terpaksa mengambil langkah menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MYEG dan Zetrix AI bermula hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan itu tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada rakyat kerana urus niaga berkaitan masih boleh dilakukan melalui saluran alternatif.

"Antaranya aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kios JPJ serta saluran lain yang ditetapkan oleh jabatan," jelasnya.

Bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, beliau berkata JPJ menyediakan kemudahan pembayaran melalui Kaunter Mobile JPJ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Kemudahan itu beroperasi dari 8 pagi hingga 10 malam bagi memastikan urusan pembayaran saman dapat dilaksanakan dengan lancar di kedua-dua pintu masuk berkenaan.

Tambahnya, MOT dan JPJ turut akan mengambil tindakan perundangan sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada MYEG.

"Kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.

"MOT dan JPJ akan terus memastikan kepentingan rakyat kekal dilindungi dan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas," katanya.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Mengapa perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut hasil JPJ digantung? 
    A: Perkhidmatan digantung kerana syarikat gagal memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.
  • Q: Berapakah jumlah tuntutan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan oleh syarikat berkenaan? 
    A: Jumlah keseluruhan tuntutan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 adalah RM314 juta.
  • Q: Apakah langkah yang telah diambil oleh MOT dan JPJ untuk mendapatkan semula kutipan hasil tersebut? 
    A: MOT dan JPJ telah mengadakan empat sesi libat urus, mengeluarkan 35 notis peringatan, dan menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan kepada syarikat berkenaan.
  • Q: Adakah penggantungan perkhidmatan ini menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada rakyat? 
    A: Tidak, kerana urus niaga masih boleh dilakukan melalui saluran alternatif seperti aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kios JPJ serta saluran lain yang ditetapkan.
  • Q: Apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh MOT dan JPJ terhadap MYEG? 
    A: MOT dan JPJ akan mengambil tindakan perundangan sewajarnya untuk mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada MYEG.

Must Watch Video

Advertisement