SHAH ALAM : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dituduh Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan dituduh di bawah AMLATFPUAA 2001 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

Beliau berkata, pertuduhan di bawah AMLATFPUAA terhadap Pengerusi PN itu ekoran siasatan melibatkan kes projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dijalankan siasatannya oleh SPRM.

"Muhyiddin akan dituduh di bawah AMLATFPUAA 2001 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini," katanya pada Sabtu.

Muhyiddin tidak akan ajak rakyat ke jalan untuk membelanya

Azam berkata, mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Dalam sidang akhbar yang dilakukan oleh Muhyiddin selepas dibebaskan oleh SPRM pada Khamis, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan akan dikenakan tujuh pertuduhan di mahkamah.

Enam pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu telah dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, manakala satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

Pendakwaan terhadapnya satu bentuk pemangsaan politik - Muhyiddin

Pada Jumaat, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi. - Sinar Harian