Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan 82 peratus siasatan kes rasuah daripada 976 kertas siasatan yang dibuka tahun lepas berbanding 75 peratus pada 2012, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata kes tersebut melibatkan 509 tangkapan bagi pelbagai kesalahan antaranya menerima rasuah (33.8 peratus), memberi rasuah (33.6), tuntutan palsu (15.5 peratus) dan salahguna kedudukan (12.6 peratus).

"Jumlah tersebut merupakan pencapaian membanggakan dan yakin menepati standard yang perlu dicapai suruhanjaya tersebut dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

"Saya yakin pencapaian tersebut adalah melepasi standard yang perlu dicapai oleh agensi pencegahan rasuah sekiranya ingin dikelaskan sebagai agensi yang berkesan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis penyerahan laporan Tahunan SPRM 2013 dan Ulasan 2013 Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Turut hadir anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) antaranya anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abd Rahman dan anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw.

Laporan itu dikemukakan oleh Abu Kassim kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian SPRM, Abu Kassim berkata usaha komited suruhanjaya tersebut dalam membanteras rasuah di negara ini turut mendapat perhatian masyarakat dunia.

"Penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berkenaan Jenayah (UNODC) berhubung pematuhan Malaysia ke atas Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) telah mengiktiraf 23 amalan baik dan kejayaan usaha SPRM memerangi jenayah rasuah," katanya.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut turut melibatkan kebebasan SPRM dengan kewujudan Panel Penilaian Operasi yang memantau gerak kerja SPRM menjalankan siasatan tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Dalam pada itu, Abu Kassim berkata kejayaan tersebut merupakan kesan positif daripada pelaksanaan program transformasi SPRM membolehkan pelbagai langkah diambil bagi mempercepatkan proses siasatan kes.

Sementara itu, Abu Zahar berharap masyarakat dapat meningkatkan keyakinan serta membuat perubahan minda terhadap SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali yang menangani semua kes termasuk yang berprofil tinggi.

"Dulu kalau disebut saja SPRM orang kata badan kerajaan...sebenarnya tidak. Ini adalah satu perubahan yang amat ketara dan kita mahu lihat keberkesanannya supaya negara lebih dipercayai dan pelabur luar akan datang dengan maju lagi", katanya.

Harapan sama turut diutarakan Fauzi yang berpendapat persepsi masyarakat terhadap suruhanjaya itu semakin baik walaupun agak sukar mengikis persepsi yang wujud sekian lama dalam diri rakyat.

"Namun, kalau sesiapa tidak puas hati tentang penyiasatan kes kepada orang-orang besar umpamanya, ada jawatankuasa yang boleh dirujuk", katanya.