PUTRAJAYA: Siasatan terhadap Aman Palestin Bhd berhubung dakwaan ketidakaturan dalam aktiviti pengumpulan derma oleh badan bukan kerajaan tersebut (NGO) untuk rakyat Palestin masih berterusan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pegawai forensiknya sedang meneliti dokumen (kewangan) yang diperoleh daripada Aman Palestin dari 2020 hingga 2022.

"Kami belum memanggil mana-mana saksi buat masa ini kerana pegawai forensik masih lagi meneliti dokumen tersebut Banyak perkara yang perlu kami teliti terutamanya berkaitan dengan rekod dari tahun 2020 hingga 2022," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh Aman Palestin dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut. Oleh itu, pihak berkuasa agama negeri itu menangguhkan pengumpulan dana oleh Aman Palestin di Perlis bermula 12 Okt lalu sehingga siasatan selesai.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata suruhanjaya itu ketika ini dipantau oleh lima panel bebas termasuk Jawatankuasa Aduan dan sudah memadai untuk menyiasat mana-mana pegawai SPRM didakwa terbabit dalam salah laku.

"Jawatankuasa Aduan ini sudah lama diwujudkan untuk menyiasat salah laku oleh mana-mana pegawai SPRM," katanya.

Semalam, Gobind Singh Deo (PH-Damansara) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakjyat bertanya bila kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat aduan terhadap pegawai SPRM yang didakwa terbabit dalam salah laku.

-- BERNAMA