PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat ahli perniagaan termasuk seorang bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang individu bergelar "Datuk Seri" yang disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang telah mendapat tender di sebuah kementerian.

Tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu, manakala seorang lagi direman selama tiga hari juga bermula hari ini sehingga Jumaat, selepas permohonan reman oleh SPRM dibenarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, penahanan kesemua suspek dibuat selepas suspek utama yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha politik telah meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian diperoleh pihak kontraktor.

"Keempat-empat suspek lelaki ini dipercayai telah menerima suapan daripada beberapa syarikat termasuk kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

"Kesemua suspek ditahan sekitar pukul 7 malam hingga 8.30 malam tadi iaitu tiga di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir bagi direkodkan keterangan dan seorang lagi ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM juga berkemungkinan akan memanggil beberapa individu lain bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA