KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menggunakan kedudukannya melantik sebuah syarikat untuk mengubah suai gudang dan bekalan perabut bernilai kira-kira RM1.9 juta.

Pembekalan serta pengubahsuaian tersebut bagaimanapun tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut sumber, suspek wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 6.30 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Suspek dipercayai menggunakan nama sebuah syarikat lain sedangkan kontraktor sebenar adalah syarikat milik suspek sendiri.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek tidak membekalkan perabut dan pengubahsuaian gudang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak.

“Selain itu sejumlah wang kira-kira RM300,000 telah dikesan dimasukkan ke dalam akaun suspek,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek telah dilepaskan dengan jaminan seorang penjamin sebanyak RM50,000 selepas keterangannya direkodkan.