KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan terdapat kes individu yang telah menyatakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), tetapi memungkiri janji dan ditahan disebabkan perbuatan itu.

Ketua Pesurujayanya Tan Sri Azam Baki berkata perkara berkenaan sesuatu yang memalukan dan seolah-olah IBR hanya 'wayang' untuk pertunjukan sahaja.

"Walaupun telah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah. Janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari. Saya amat berharap, program IBR pada hari ini bukan bersifat one-off atau kosmetik semata-mata," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Mengenai penglibatan WTCKL dalam IBR, Azam berkata program IBR ini merupakan satu langkah yang baik dalam menerapkan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja WTCKL.

"IBR ialah janji yang dibuat oleh kempimpinan organisasi bagi meningkatkan integriti, tadbir urus baik dan mencegah rasuah dalam organisasi," katanya.

Azam berkata penzahiran komitmen Pengurusan WTCKL melalui IBR adalah amat penting, bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.

Mengenai perkembangan siasatan berhubung penglibatan ahli politik dalam judi dalam talian, Azam berkata SPRM sedang mengumpul maklumat berkaitan ahli politik yang mendalangi dan melindungi kegiatan judi dalam talian.

Beliau berkata maklumat berkenaan bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan.

"Saya hanya boleh sahkan bahawa siasatan sedang dibuat dan tidak boleh mendedahkan mereka (ahli politik) yang terlibat. Saya juga tidak boleh dedahkan sama ada ahli politik itu di sebelah kerajaan atau di sebelah pembangkang," katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan, menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya, dalam usaha membanteras kegiatan itu.

-- BERNAMA