SERDANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan mengenai 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya ada menerima laporan dan maklumat tertentu berkaitan isu berkenaan.

"Kita juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat dakwaan berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan PDRM telah menerima maklumat terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentu sahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Justeru, Saifuddin menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.
Saiffuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 perlu dipinda segera agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan. -- Sinar Harian