SPRM tidak siasat suami Zeti - Azam Baki

Astro Awani
Mac 1, 2022 09:19 MYT
Azam berkata, SPRM hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat Datuk Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ia berikutan badan pencegahan rasuah itu hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.
Jelasnya, siasatan membabitkan Tawfiq dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dalam siasatan melibatkan kes 1MDB, pasukan petugas melibatkan polis dan SPRM. Untuk kes Tawfiq, tugas yang diberikan kepada SPRM adalah untuk mendapatkan semula wang 1MDB dari Singapura.
"Polis menjalankan siasatan di bawah AMLA, terhadap Tawfiq. Saya rasa siasatan mereka masih diteruskan dan pihak polis akan kemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara apabila ia siap," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.
BACA: Zeti nafi keluarga terbabit skandal 1MDB
Justeru katanya, dengan tugas yang diberikan, SPRM akan terus bekerjasama dengan polis bagi kes melibatkan skandal 1MDB.
Media sebelum ini melaporkan, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner semasa prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1MDB di New York, Amerika Syarikat mendakwa suami bekas Gabenor BNM itu menerima rasuah.
Namun, Tawfiq menerusi kenyataan melalui firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co baru-baru ini menegaskan, beliau tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidupnya malah tidak mengenali Leissner.
#Tim Leissner #1MDB #Zeti Akhtar Aziz #Tawfiq Ayman