PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa diberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan pertuduhan dana SRC International Sdn Bhd bagaikan ‘terdorong’ untuk memutuskan bekas Perdana Menteri itu bersalah.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela Najib, Farhan Read di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

"Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali seperti terdorong untuk memutuskan anak guam saya bertanggungjawab dan bersalah," katanya ketika berhujah di sini, pada Selasa. 

Kata Farhan lagi, undang-undang jenayah bukanlah saluran yang tepat untuk tertuduh dipertanggungjawabkan kerana tertuduh sudahpun dipertanggungjawabkan pada pilihan raya umum yang lalu.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rayuan kes SRC Najib masuk minggu kedua

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, tambahan lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.