PUTRAJAYA: Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan kekecewaan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan anak guamnya untuk menyemak keputusan yang mengekalkan sabitan serta hukuman kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Namun beliau memberi gambaran bahawa keputusan itu tidak semestinya pengakhiran 'episod' untuk mendapat keadilan kepada anak guamnya.

Sebaliknya kata beliau, asas yang dikemukakan dalam keputusan itu akan dikemukakan kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta bekas Perdana Menteri itu dibebaskan atau dibicarakan semula.

"Penghakiman hari ini menyaksikan 4-1, dan kami amat kecewa dengan alasan yang diberikan keputusan majoriti yang seolah-olah tidak ubah, sama seperti keputusan (Mahkamah Persekutuan) sebelum ini dengan hanya sedikit penambahan, tiada banyak penambahan bagi mengatakan bahawa pihak pembelaan bersalah.

"Sudah pasti kami kecewea dengan keseluruhan kesimpulan dan keputusan majoriti. Namun, kami masih bersemangat. Di sebalik kekalahan, saya masih boleh senyum kerana penghakiman minoriti mengambil masa dua kali ganda untuk dibaca berbanding keputusan majoriti, iaitu 84 minit manakala keputusan majoriti hanya 48 minit," katanya pada sidang media di Istana Kehakiman di sini, pada Jumaat.

Kes SRC: Kecewa dengan alasan penghakiman - Shafee

BACA: Najib kekal dipenjara, mahkamah tidak benar semak kes SRC International

BACA: SRC International: 'Najib sendiri penyebab gagal rayuannya' - Mahkamah Persekutuan

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kenyataan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli ketika membacakan keputusan, bahawa adalah tidak adil bagi Najib untuk 'membayar' harga yang tinggi dengan meringkuk dalam penjara semata-mata kesilapan peguamnya, Muhammad Shafee berkata:

"Kesilapan peguam adalah kesilapan peguam itu sendiri, jadi kalau mahkamah ingin menghukum peguam berkenaan, maka ada prosiding tatatertib.

"Namun mahkamah tidak mengambil tindakan terhadap peguam berkenaan, jadi mengapa Datuk Seri Najib perlu menderita? Terutamanya apabila pasukan pendakwaan juga mengakui bahawa pengangguhan kes (terdahulu) bukan sesuatu yang direka, bukan untuk melambat-lambatkan kes berkenaan.

"Malah peguam berkenaan (Datuk Hisyam Teh Poh Teik) turut mengakui perkara itu, jadi tidak ada sebarang asas ia diturunkan kepada anak guam," jelasnya.

Pada 17 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Najib, Hisyam Teh untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika membacakan keputusan panel hakim berkata, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.