PUTRAJAYA: Sebanyak 64 peratus daripada 30,155 cadangan yang dikemukakan penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), berkaitan struktur gaji, elaun dan kemudahan penjawat awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed.

Zulkapli berkata, cadangan berkaitan gaji dan elaun merekodkan peratusan tertinggi, iaitu masing-masing 23 peratus, 18 peratus mengenai kemudahan penjawat awam, manakala 36 peratus mengenai perkhidmatan; prestasi dan kompetensi; kemajuan kerjaya; ganjaran dan tatatertib.

Beliau berkata, seramai 15,495 responden yang terdiri pelbagai skim perkhidmatan sektor awam di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kajian SSPA Fasa 1, yang bermula dari 26 Julai sehingga 9 Ogos 2023.

Zulkapli berkata, cadangan berkenaan, meliputi enam kelompok iaitu teknikal, kesihatan, pendidikan, keselamatan, pengurusan serta sains dan teknologi.

"Satu laporan interim berkaitan struktur gaji dan elaun akan dikeluarkan September ini, untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Laporan interim ini akan dijadikan rujukan bagi perkara berkaitan gaji dan elaun untuk dimasukkan dalam Belanjawan MADANI, yang akan dibentangkan perdana menteri yang juga menteri kewangan pada Oktober ini," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus bersama ketua kelompok kajian SSPA dan ketua setiausaha kementerian, di sini, pada Jumaat.

Anwar hari ini dilapor mengumumkan, kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua, yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Pada 14 Julai lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiada semakan dibuat sejak 2002.

Kajian SSPA yang dijangka mengambil masa hampir dua tahun itu merupakan inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI.

Pada 7 Ogos, Anwar telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA), bagi membincangkan mengenai kajian SSPA.

-- BERNAMA