MALAYSIA
SST: KPK adakan sesi libat urus bersama penggiat industri minyak sawit - Timbalan Menteri

KPK akan mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri minyak sawit pada Khamis ini bagi membincangkan pelbagai kekeliruan berkenaan pelaksanaan SST terutama dari segi tafsiran produk akhir. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri minyak sawit pada Khamis ini bagi membincangkan pelbagai kekeliruan berkenaan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terutama dari segi tafsiran produk akhir.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Fong Hin berkata sesi libat urus itu penting bagi memastikan semua pihak dalam sektor berkaitan memahami dengan lebih jelas kesan sebenar SST terhadap rantaian bekalan serta pengeluaran komoditi.
"Sebelum ini, mereka telah mengadakan dialog dengan Kementerian Kewangan (MOF) tetapi masih terdapat beberapa isu yang belum diberi penjelasan sepenuhnya.
"Oleh itu, kementerian mengambil langkah untuk campur tangan dan membantu agar pihak berkepentingan mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai situasi sebenar mereka hadapi di lapangan," katanya.Chan berkata kekeliruan pada tafsiran produk akhir itu berikutan produk dari satu kilang kemudian digunakan sebagai bahan asas oleh pihak lain untuk menghasilkan pelbagai produk yang terdapat di pasaran.
"Kerajaan tidak berhasrat untuk pindahkan kos pada pelanggan tetapi akhirnya merentasi rantaian bekalan itu. Justeru, kita berharap SST ini hanya dikenakan kepada produk akhir.
"Bagaimanapun, timbul isu apabila produk akhir dikeluarkan oleh bagi satu pihak menjadi bahan mentah bagi pihak lain. Jadi bagaimana kita mentakrifkannya?," katanya.
Mengulas mengenai penangguhan pelaksanaan SST lima peratus ke atas bahan mentah lateks getah asli (NR) dan lateks getah nitril butadiena (NBR) seperti dicadangkan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Chan berkata belum ada penyelesaian tentang perkara itu.
Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang cadangan daripada pemain industri atau pihak berkepentingan untuk membantu merangka penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan.
Sebelum ini, MARGMA memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan SST lima peratus ke atas bahan mentah lateks getah asli (NR) dan lateks getah nitril butadiena (NBR) yang disenaraikan di bawah perintah terkini P.U.(A) 170/2025.
MARGMA memberi amaran bahawa pelaksanaan cukai itu bakal memberi impak rantaian terhadap keseluruhan ekosistem industri getah domestik termasuk menjejaskan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melambatkan inovasi serta mengugat kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran sarung tangan global.
Terdahulu, Chan dalam ucapannya berkata bahawa dunia sedang menghadapi kekurangan biji koko global dan permintaan semakin meningkat untuk koko mampan sedang membentuk semula industri dengan Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran itu secara berterusan.
"Kami kini giat menghidupkan semula pembangunan ladang koko, diterajui oleh Lembaga Koko Malaysia. Inisiatif ini sudah pun dijalankan dan kami menjemput pelabur, koperasi dan pemain perladangan, domestik dan antarabangsa untuk menyertai usaha ini," katanya.
Beliau berkata mereka juga mengalihkan tumpuan kepada koko premium termasuk kacang berperisa halus, pilihan asal tunggal dan pilihan organik untuk memenuhi permintaan global khusus dan menempatkan coklat Malaysia di peringkat tinggi rantaian nilai.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami