Perak belanja RM32 juta beri air percuma, rebat air

Saarani ketika menjawab soalan lisan ketika Sidang DUN Perak pada Jumaat. - Foto Pejabat MB Perak
IPOH: Kerajaan negeri Perak membelanjakan hampir RM32 juta bagi melaksanakan subsidi air percuma dan pemberian rebat bil air kepada rakyat sehingga Oktober 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui Lembaga Air Perak (LAP) itu sebagai langkah proaktif meringankan beban rakyat.
Menurutnya, subsidi air percuma disalurkan kepada golongan miskin dan termiskin yang berdaftar serta menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada kadar 25 meter padu sebulan bersamaan RM20.40.
"Selain itu rebat bil air sebanyak RM4 sebulan turut diberikan kepada semua pengguna akaun domestik di Perak. Sehingga Oktober 2025, hampir RM32 juta telah dibelanjakan oleh LAP bagi pelaksanaan kedua-dua inisiatif ini bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Kerajaan negeri sentiasa menilai keperluan semasa termasuk pertimbangan untuk menambah baik bantuan mengikut keperluan khusus masyarakat B40 di bandar dan luar bandar," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.
Saarani berkata, bagaimanapun sebarang peluasan skim bantuan adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri serta komitmen dasar semasa.
Jelasnya, kerajaan negeri komited memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Perak dengan penekanan terhadap penyelarasan antara jabatan dan agensi pelaksana supaya agihan bantuan dilaksanakan secara adil, tidak bertindih dan tepat kepada kumpulan sasaran.
Justeru katanya, dalam Belanjawan 2026, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan Bantuan Am JKM daripada RM31 juta kepada RM37 juta, Kad Perak Sejahtera daripada RM24 juta kepada RM24.5 juta serta Program Bantuan Kotak Makanan daripada RM5 juta kepada RM6 juta.
Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri turut memperkenalkan peruntukan baharu bagi Program Sayangi Rumahku sebanyak RM3 juta sebagai dana pusingan di bawah Yayasan Perak bagi membantu keperluan perumahan rakyat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


