KUALA LUMPUR: Kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus telah menyebabkan perbelanjaan harian rakyat Sabah lebih tinggi.

Timbalan Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), Datuk A. Nagaraju berkata impaknya sangat besar memandangkan masih ramai penduduk Sabah yang berada dalam kategori B40.

“Golongan B40 akan terkesan teruk terutamanya di Sabah dan Sarawak. Terutamanya di Sabah masih ramai yang hidup dalam keadaan yang seadanya.

“Tetapi dengan kenaikan SST perbelanjaan harian mereka sudah berubah. Kenaikan barang ini membuatkan mereka lebih sukar untuk hidup. RM50 untuk membeli barangan keperluan, tidak lagi sama kuantiti barangannya berbanding dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Tambah Nagaraju, Kerajaan juga perlu memastikan harga beras tidak meningkat memandangkan ia merupakan makanan asas rakyat Malaysia.

Oleh itu, beliau menyarankan satu harga tetap untuk semua beras diperkenalkan.

“Apabila Kerajaan hendak laksanakan sebarang cukai, jangan dikenakan kenaikan yang sama kepada beras. SST boleh dikenakan kepada barangan lain. Kerajaan perlu tetapkan harga tetap untuk beras,” ujarnya.

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus mula berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.

Namun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kenaikan tersebut tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas dan gaya hidup rakyat di Malaysia.

Ini termasuk cukai untuk perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir kenderaan dan perkhidmatan logistik, yang masih kekal pada kadar enam peratus.

Menurutnya, bagi perkhidmatan elektrik pula, cukai perkhidmatan hanya akan dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj.

Jelasnya, ini bermakna hampir 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang tersebut dan tidak terkesan dengan kenaikan cukai berkenaan.

Katanya lagi, cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.


Agenda AWANI: Memahami perubahan cukai perkhidmatan