Dunia automotif kecoh baru-baru ini apabila pihak Global NCAP mendedahkan bahawa dua kereta yang dibuat di negara India – iaitu Datsun GO dan Maruti Suzuki Swift, telah mendapat keputusan yang sangat teruk untuk ujian perlanggaran yang dijalankan.

Lihat sahaja imej Nissan GO ketika ujian perlanggaran di atas, kesan daripada hentaman membayangkan bahawa kereta itu berlanggar jauh lebih laju daripada standard 64km/j yang diguna pakai pihak NCAP.

Jesteru, Nissan GO telah mendapat sifar bintang untuk perlindungan penumpand dewasa, dengan komen tambahan Global NCAP bahawa kerangka kereta ini begitu lemah sehinggakan pemasangan beg udara tidak akan membawa apa-apa kesan positif.

Susulan itu, pengerusi Global NCAP, Max Mosley, telah menyeru agar semua kereta-kereta Nisan GO dipanggil balik dan pihak syarikat membuat semula kerangka kereta berkenaan. Ini bukanlah sesuatu yang ingin didengar oleh mana-mana ketua syarikat automotif, tetapi masalah ini timbul kerana isu keselamatan kenderaan di India jauh ketinggalan berbanding negara-negara pengeluar kereta lain.

Perkembangan terbaharu datang daripada RS Kalsi iaitu pengarah eksekutif Maruti Suzuki, yang mengatakan bahawa pihak mereka bersedia untuk menaiktaraf ciri-ciri keselamatan, jika diminta oleh pihak kerajaan India.

Bagi R S Kalsi, masalahnya adalah kerana perbezaan diantara standard keselamatan peringkat dunia dengan apa yang digunakan sekarang di India.

Pendapat beliau disokong oleh seorang wakil daripada NATRiP (Kajian & penyelidikan projek infrastruktur dan ujian automotif nasional) yang berkata, “Ujian (Global NCAP) dijalankan pada kelajuan 64km/j manakala di sini, kelajuannya adalah 56km/j. Semua kereta yang dibuat di India direka untuk menepati isu keselamatan pada kelajuan itu.”

Segmen yang paling aktif di India adalah untuk kereta kompak dengan harga murah, kebanyakanya dengan spesifikasi terhad. Standard yang digunakan Global NCAP – serta badan-badan yang bernaung di bawahnya, termasuk Asean NCAP – adalah tambahan kepada standard minima ujian pelanggaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Namun, tiada kewajipan perundangan yang boleh memaksa pembuat kereta untuk mengikutnya. Model-model seperti Nissan GO dan Maruti Suzuki Swift hanya boleh dijual di India kerana pihak kerajaan membenarkannya, kemungkinan besar atas kehendak pasaran negara terbabit.