Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia dilaksana bermula tahun hadapan - TPM Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara di Masjid Tuminah Hamidi hari ini. - Foto BERNAMA
BAGAN DATUK: Kerajaan hari ini melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Kerajaan lancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) bermatlamat perkasakan kualiti pendidikan tahfiz dan galak budaya kecemerlangan.
- 10 institusi tahfiz terbaik bakal terima insentif RM50,000 setiap satu, bagi dorongan meningkatkan kualiti pendidikan tahfiz.
- Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) diperkasakan menerusi DPTN 2.0 dengan pemantapan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia (MPTM) dan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0.
"Ini bukan sekadar angka, bukan sekadar wang ringgit, tetapi ini satu suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus mempertingkatkan kualiti dan juga amalan terbaik serta menjadi institusi cemerlang supaya kita ketengahkan sebagai model institusi tahfiz Malaysia, insya-Allah," katanya pada Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara di Masjid Tuminah Hamidi hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Lebih 25,000 huffaz dari seluruh negara termasuk orang ramai menyertai himpunan berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), ekosistem pendidikan tahfiz akan terus diperkasakan menerusi dasar, standard dan tadbir urus yang jelas.
"Melalui DPTN 1.0 telah mendapati sebanyak 84 peratus dasar-dasar itu telah diselaraskan, dilaksanakan di seluruh maahad tahfiz di negara kita.
"Dari segi pendidikan tahfiz sebagai satu ekosistem pendidikan yang baharu, kini terdapat 1,401 institusi tahfiz yang melibatkan 10,081 asatizah atau guru dan sebanyak 61,494 pelajar terlibat dalam ekosistem pendidikan tahfiz atau menjadi huffaz baharu. Alhamdulillah," katanya.
Beliau berkata melalui DPTN 2.0, beberapa instrumen penting telah diperkukuh termasuk pembangunan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia (MPTM).
"... dan juga melakukan pemantapan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 dengan pelaksanaan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), juga menyediakan skim pembiayaan huffaz, serta usaha penyelarasan STM (Sijil Tahfiz Malaysia) ini bagi melahirkan huffaz yang berdaya saing, berkemahiran, dan relevan dengan keperluan semasa," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkongsi pencapaian pendidikan tahfiz yang dilahirkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan di negara ini, termasuk di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
"Saya ingin berkongsi dengan para hadirin sekalian. Di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Fakulti Aeroangkasa yang 90 peratus pelajarnya terdiri huffaz.
"Fakulti Kejuruteraan Marin pula sebanyak 93 peratus pelajarnya terdiri daripada mereka telah menjadi huffaz. Bukan sekadar itu, di UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) terdapat 534 huffaz yang mengikuti kursus kejuruteraan, sama ada kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik atau kejuruteraan mekanikal.
"Keputusan peperiksaan pelajar-pelajar ini kebanyakannya memperoleh CGPA 3.5 dan ke atas. Ini merupakan satu pencapaian yang baik," katanya.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian 10 Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan agensi agama negeri, IPT dan institusi kemahiran.
Mou itu melibatkan tiga program utama, iaitu Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap dan Program Pensijilan Hafazan Bertahap.
Majlis himpunan turut diserikan dengan ceramah daripada pendakwah terkenal Nusantara, Ustaz Prof Dr Abdul Somad Batubara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


