KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengambil tindakan tegas menggantung jawatan ahlinya sebagai penyelaras satu kawasan Parlimen di Sabah berkuat kuasa Rabu selepas didakwa terlibat dalam salah laku termasuk mencabul.

Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Kohoi berkata, lembaga disiplin parti juga akan bersidang bagi menentukan sama ada menggantung keahlian atau memecat individu itu daripada parti.

Tegasnya, STAR Sabah mengambil berat mengenai perkara itu dan sekali parti yang berperlembagaan, semua perkara perlu diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam parti.

"Tindakan ini menunjukkan bahawa pihak kepimpinan parti sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan dari semua pihak, terutama daripada ahli-ahli parti.

BACA: Polis siasat laporan peserta Unduk Ngadau dicabul

Parti STAR juga mengambil berat mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau meminta ahli dan penyokong STAR untuk bersabar dan tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan keadaan.

Tambahnya, setakat ini terdapat dua laporan terhadap ahli STAR yang sedang viral di media sosial iaitu mencabul peserta Unduk Ngadau dan mengasari pengawal keselamatan di Dewan KDCA.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazai Ghazali memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh dan adil berhubung laporan polis yang mendakwa peserta Unduk Ngadau 2021 dicabul seorang individu.


Pesta Kaamatan | Bijak urus masa cabaran Ratu Unduk Ngadau 2021