KUALA LUMPUR: Masyarakat Kampung Orang Asli suku Temuan Hulu Kemensah kini memperoleh sinar baharu dengan kehadiran capaian Internet yang membolehkan anak-anak mereka belajar, pandang ke hadapan dengan fikiran yang lebih terbuka dan berpeluang menyumbang khidmat bakti kepada keluarga bila dewasa nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Jamil Atong, berkata meskipun unit peranti satelit Starlink telah dipasang empat hari lalu, beliau bersyukur dengan kemudahan yang diberikan kerajaan itu di mana pelbagai perancangan dibuat untuk menaik taraf kehidupan Orang Asli suku Temuan itu.

".. Seperti macam dunia baharu, terasa seperti baru merentasi tahun 2023 dengan pencapaian Internet dan bukannya tahun 1960-an. Kini anak-anak boleh belajar secara dalam talian meskipun serba kekurangan gajet dan ketiadaan komputer," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Meskipun masih belum ada orang kampung yang bergiat dalam perniagaan dalam talian, perancangan pemulihan ekonomi setempat giat dilakukan.

"Kami sedang mencari produk kita dan kerjasama dengan orang kampung. Produk-produk yang kami cadang (untuk dipasarkan secara dlam talian) terdiri daripada hasil-hasil hutan seperti herba-herba, durian hutan, halia, cili bara dan produk buluh yang bermusim serta kraf tangan," katanya.

Jamil serta penduduk terutamanya golongan dewasa gembira dengan inisiatif kerajaan serta memohon untuk peranti satelit Starlink kedua di sana kerana ruang lingkup hanya meliputi dewan balai raya sahaja dan jika boleh hendak meliputi kawasan perumahan yang didiami 135 orang penduduk yang tergolong daripada 35 keluarga di situ.

Pada 11 Ogos lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebooknya, berkata kawasan berkenaan merupakan perkampungan Orang Asli pertama dipilih untuk pemasangan Starlink sekali gus menjadikannya lokasi kedua selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lepas.

Dalam hantaran itu, beliau berkata kualiti Internet sedia ada di kampung Orang Asli berkenaan sangat teruk, malah hampir tiada di perkampungan itu.

Fahmi berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membuat kajian tambahan bagi penyelesaian jangka panjang termasuk pembinaan menara dan pemasangan gentian optik.

Sabri Ahang, 49, berkata ketika sambutan Aidilfitri, permintaan untuk buluh adalah tinggi tetapi masalah timbul apabila pembeli sukar untuk berkomunikasi dengan mereka kerana tiada liputan internet.

"Sekarang kita hanya pergi ke dewan (balai raya) sahaja dan boleh dapat tahu sama ada pembeli mencari kami ataupun tidak. Kerajaan telah memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli dengan menaja peranti satelit Starlink selama setahun sahaja.

"Jika boleh kami mohon agar penajaan ini berpanjangan memandangkan pendapatan yang tidak banyak dan tidak menentu, hanya bergantung harap pada kerja kampung dan hasil tanaman hutan serta masih dibelenggu dengan pemulihan pasca COVID-19," katanya.

Mazlan Ambo, 37, berkata dengan pencapaian komunikasi, segala bentuk kecemasan boleh ditangani dengan keupayaan menelefon pihak hospital, bomba mahupun polis.

"Apa yang kita nak adalah anak-anak masyarakat Orang Asli terbuka fikirannya dan boleh pandang ke hadapan dengan belajar secara dalam talian dan berada setempat dan tak perlu keluar untuk mendapatkan informasi," katanya.

-- BERNAMA