Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C. Sivarraajh diarahkan untuk meninggalkan persidangan Dewan Rakyat hari ini sehingga beliau memperoleh perintah penggantungan sementara terhadap keputusan mahkamah sebelum ini berhubung status kerusi Parlimen itu.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau tidak mahu perkara itu menjadi duluan atau precedence yang boleh menjadi rujukan di masa akan datang sekiranya ia terjadi lagi.

"Jumpa dengan peguam atau pakar (undang-undang), sama ada rayuan yang difailkan ada penggantungan atau tidak. Ini amat penting.

"Otherwise, if there's no stay, you are a stranger in the House," kata Mohamad Ariff sewaktu memberi alasan membuat keputusan demikian.


Terdahulu, SN Rayer (PH-Jelutong) memohon ruling daripada Speaker memandangkan Jumaat lepas, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan Sivarraajh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Melalui petisyen yang difailkan ahli DAP M. Manogaran pada 4 Jun lepas, beliau mendakwa Sivarraajh dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kini Menteri Besar Pahang, telah menghulurkan wang antara RM30 dan RM1,000 kepada pengundi Orang Asli di kawasan itu.

Sementara itu, Sivarraajh yang ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata, beliau masih ahli Parlimen yang sah memandangkan Hakim Mahkamah Tinggi masih belum menghantar notis penghakiman kepada Speaker mengenai kekosongan kerusi itu.

"Saya dah periksa, selagi hakim Mahkamah Tinggi tidak hantar judicial notice kepada Speaker, bagi memaklumkan bahawa kerusi Cameron Highlands telah kosong, saya masih ahli Parlimen yang digazetkan, saya masih boleh hadir.

"Tetapi YB Jelutong sengaja hendak malukan saya depan semua orang. Dia nak tunjuk power. Tak apa. It's okay," kata Naib Presiden MIC itu lagi.

Sivarraajh berkata, beliau juga mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan dan perintah 'penggantungan sementara' (stay order) kepada keputusan awal mahkamah diperolehi apabila beliau memfailkan rayuan secara rasmi.