Skip to main content

Malaysia

Stok beras cukup, harga baja dipantau - Mohamad Sabu

Mat Sabu. Kredit Astro Awani
Mohamad (tengah) berkata setakat ini konflik berkenaan belum menjejaskan keterjaminan makanan negara memandangkan kebanyakan import makanan Malaysia tidak bergantung kepada negara di rantau Teluk. -Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara, khususnya beras, masih berada pada tahap stabil meskipun konflik di Asia Barat menimbulkan kebimbangan terhadap rantaian bekalan global.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata setakat ini konflik tersebut belum menjejaskan keterjaminan makanan negara kerana Malaysia tidak bergantung kepada negara di rantau Teluk bagi import makanan.

Advertisement

Menurutnya, Malaysia banyak mengimport makanan dari India, Pakistan, negara‑negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina.

“Buat masa ini bekalan makanan utama (beras) negara tidak terjejas kerana negara yang terlibat konflik di Asia Barat tidak memainkan peranan besar dalam pembekalan makanan kepada Malaysia.

“Dari segi bekalan beras, kita mempunyai stok penimbal yang mampu menampung keperluan negara kira-kira lima bulan.

"Jika dicampur dengan stok di pasaran dan kedai-kedai, bekalan boleh bertahan sehingga kira-kira tujuh bulan,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik antarabangsa bagi memastikan sebarang kesan terhadap bekalan makanan dan sektor pertanian negara dapat ditangani lebih awal.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan kesan tidak langsung sekiranya konflik berlarutan, terutamanya jika berlaku lonjakan harga minyak dunia, yang boleh menjejaskan kos import.

Dalam masa sama, Mohamad berkata kerajaan mempunyai langkah mitigasi awal bagi memastikan bekalan makanan utama negara terus terjamin.

Perkara tersebut turut dibincangkan di peringkat Kabinet, manakala Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi dijangka memberi pandangan lanjut mengenai implikasi kenaikan harga minyak terhadap ekonomi negara.

Katanya, kenaikan harga minyak boleh menyebabkan peningkatan kos import barangan termasuk input pertanian seperti baja.

“Petani juga bimbang harga baja akan naik jika harga minyak meningkat akibat perang.

"Setakat ini harga baja belum terjejas kerana kebanyakan bahan tersebut tidak diimport dari negara yang terlibat konflik.

“Namun jika konflik berpanjangan dan harga minyak meningkat mendadak, ia boleh memberi kesan kepada Malaysia,” katanya.

Must Watch Video