KUALA LUMPUR: Penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah SWT di beberapa kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) adalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis ada stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah ALLAH.

"Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi pada Khamis bagi membantu siasatan serta memberi kerjasama kepada pihak berwajib.

KK Chai (dua dari kanan) dan Chin Huat (dua dari kiri) ketika sidang media di Menara KK pada Sabtu.

"Selain itu, surat penjelasan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah disediakan.

"Pihak syarikat tidak mempunyai sebarang agenda untuk mengganggu ketenteraman awam seperti yang diperkatakan oleh komuniti, maka saya dengan rendah diri memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bagi memberi penjelasan mengenai isu tular penjualan stoking tertera kalimah ALLAH SWT di Menara KK di sini pada Sabtu.

Hadir sama, pemilik syarikat vendor, Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat.

Chin Huat (berdiri) memberi penjelasan berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH pada sidang media di Menara KK pada Sabtu.

Dalam pada itu, Chin Huat tampil memohon maaf berikutan tidak membuat pemeriksaan rapi terhadap produk tersebut sebelum mengedarkan di rangkaian runcit terbabit.

"Stoking ini saya import dari China dan mengandungi 1,200 pasang bagi setiap guni bersama dengan beberapa pilihan corak berbeza, jadi saya terlepas pandang serta tidak membuat pemeriksaan keseluruhan terhadap setiap barangan.

"Setelah kejadian ini berlaku memang membuka mata saya untuk lebih berhati-hati membawa masuk produk dari luar negara dan saya mohon maaf berhubung perkara ini," katanya. -Sinar Harian