KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu berfikir secara waras dalam menanggapi isu stoking tertera kalimah Allah, tegas Prof. Madya Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil.

Menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu, Islam melarang umatnya mengambil tindakan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, tegas beliau, masyarakat perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan secara perundangan yang sah.

“Apakah dalam Islam membenarkan orang awam ambil tindakan sendiri sewenang-wenangnya, dengan baling bom, bunuh orang dan sebagainya? Tidak boleh.

“Dalam Islam, jika berlaku kesalahan-kesalahan seumpama ini mesti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan. Kemudian, mahkamah akan menentukan jika sabit kesalahan, maka akan dihukum.

“Tatacara Islam tidak membenarkan sesiapa sahaja untuk ambil tindakan sendirian. Ini kerana, jika ia berlaku maka akan kecoh dan huru-hara negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Stoking tertera kalimah Allah: Masyarakat perlu waras, Islam larang ambil tindakan sendiri - KP IKIM

Pada Ahad, satu lagi kejadian membaling 'molotov cocktail' berlaku di KK Mart cawangan Kuching, Sarawak, menjadikan insiden ketiga melibatkan kedai serbaneka tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah mengesahkan polis menerima laporan daripada pekerja kedai terbabit.

Pada 30 Mac lalu, Kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di Kuantan, Pahang diserang dengan 'molotov cocktail' pada jam 5.14 pagi.

Insiden tersebut berlaku lima hari selepas KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada 25 Mac.

Untuk rekod, syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd yang bertanggungjawab mengedar barangan kepada KK Super Mart bersama tiga pengarah syarikat itu, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 Mac lepas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran dan dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Agenda AWANI: Sila pilih jalan damai