BELURAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah memberkas dua lelaki tempatan selepas disyaki terbabit kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi dalam satu kejadian di Kampung Iran, pada Sabtu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.33 petang itu, pasukan serbuan berjaya merampas sebanyak 15,000 liter minyak diesel yang disimpan dalam lori tangki dan tong minyak.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, sebelum serbuan, risikan telah dijalankan selama tiga hari.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor dan pemandu lori di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan.

Alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu dua buah kenderaan lori, pam elektronik dan hos dirampas ketika serbuan. - Foto KPDNHEP Sabah

"Berdasarkan keterangan awal, penjaga stor dan pemandu lori tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

"Siasatan lanjut mendapati, minyak berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pihak industri.

"Turut ditemui alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu dua buah kenderaan lori, pam elektronik dan hos telah dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM159,500, " katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Menurutnya, semua barangan berkenaan dirampas dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.