MALAYSIA
STPM 2024 catat PNGK Nasional 2.85, tertinggi dalam rekod

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Md Amin Md Taff menyampaikan ucapan pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2024 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional 2.85, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.
Ringkasan AI
- PNGK nasional STPM 2024 mencatatkan rekod tertinggi iaitu 2.85, dengan 1,266 calon (3.06%) mendapat PNGK 4.00, menunjukkan peningkatan prestasi keseluruhan berbanding 2023.
- Sebanyak 99.7% daripada 41,434 calon layak menerima sijil STPM, dengan semua 23 mata pelajaran mencatatkan kadar lulus penuh melebihi 60%.
- 20 pelajar terbaik kebangsaan diberikan anugerah khas, dan MPM akan terus bekerjasama dengan Cambridge bagi mengekalkan status STPM setaraf A-Level.
“Daripada 41,434 calon yang hadir, seramai 99.7 peratus atau 41,422 calon layak dianugerahkan sijil STPM untuk tahun 2024.
“Syarat layak menerima sijil STPM adalah lulus sebahagian sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.
“Kesemua 23 mata pelajaran ditawarkan peperiksaan STPM 2024 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C ke atas,” ujar Md Amin dalam Majlis Pengumuman STPM 2024 di Dewan Besar MPM, di sini pada Selasa.
Seterusnya, MPM turut memilih 20 pelajar STPM terbaik kebangsaan untuk diberikan anugerah berupa wang tunai bernilai RM1,000, plak dan sijil dari MPM yang disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Kategori berkenaan melibatkan lapan pelajar terbaik kebangsaan aliran sains, lapan pelajar terbaik kebangsaan aliran sains sosial dan seorang pelajar terbaik kebangsaan kategori Orang Asli.
“Serta tiga pelajar terbaik kebangsaan kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu spastik, penglihatan buta dan rabun seorang,” jelas Md Amin.
Tambahnya lagi, MPM akan meneruskan kolaborasi dengan Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom bagi memastikan sijil STPM setaraf GCE A-Level serta seiring perkembangan semasa pentaksiran pendidikan dunia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami