Status sumber air negara sebenarnya masih mencukupi, namun pengurusan yang kurang efisyen menyebabkan pengguna sering berdepan krisis bekalan air yang seringkali terhad, kata Pengerusi Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S.Piarapakaran.

Itu sebabnya sejak sekian lama dia bertegas supaya penstrukturan semula industri air perlu disegerakan sebagai asas kepada mencapai hasrat yang digariskan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) Malaysia 2017-2030.

“Perkara penting dalam pelaksanaan ini adalah Indah Water Konsortium (IWK) juga perlu distruktur semula di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di mana IWK akan dipecahkan kepada syarikat-syarikat yang lebih kecil di peringkat negeri dan digabungkan dengan syarikat-syarikat air sedia ada di setiap negeri.

“Dan ini bukan perkara baru, pihak kami sudah lama utarakan, malahan isu ini sudah termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), mungkin KeTTHA tertinggal dan baru dimasukkan ke dalam pelan induk itu,” dakwanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Fokus utama pelan 13 tahun itu antaranya adalah merawat semula satu pertiga daripada air kumbahan terawat untuk dijadikan sumber air bersih baharu sebagai alternatif mengurangkan tekanan terhadap sumber air sedia ada.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Zaini Ujang pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan GTMP di Alor Gajah pada Rabu, yang mana katanya pelan itu mensasar pengurangan 25 peratus air tidak terhasil menjelang 2020 dan lagi 15 peratus menjelang 2030.

Cadangan itu dilihatnya sebagai langkah baik daripada kerajaan, walaupun ia bukan perkara baharu sudah lama diutarakan banyak pihak yang prihatin sebelum ini.

Pengkhususan loji rawatan air

Namun ianya kata Priyapakaran akan membabitkan kos yang mahal, melainkan struktur industri air disusun semula supaya tidak berlaku ‘dua kali kerja’, iaitu merawat semula air yang telah terawat untuk kegunaan industri juga kegunaan isi rumah.

“Industri elektronik dan keluli misalnya, mereka tidak memerlukan air dengan klorin, maka ketika air perlu diproses semula untuk membuang elemen klorin terlebih dahulu sebelum disalur dan digunakan kilang-kilang.

“Jadi lebih baik (menggunakan air) yang menepati piawaian yang mereka perlukan, yang boleh mengurangkan permintaan air terawat daripada loji rawatan air biasa yang boleh disalurkan untuk kegunaan lain,” jelasnya.

Kegunaan lain yang dimaksudkan termasuklah untuk isi rumah yang akan digunakan untuk mencuci, memasak serta makan dan minum.

“(Air kumbahan terawat) hanya akan terus disalurkan kepada industri yang memerlukan dan ini salah satu cara yang lebih efektif daripada segi pengawalan kos,” jelasnya lagi.