SHAH ALAM : Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memerintahkan Setiausaha Akhbar (SUA) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah membayar ganti rugi RM200,000 kepada Muhammad Yusoff Rawther berhubung suatu kenyataan fitnah, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ishak Bakri membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Muhammad Yusoff selaku plaintif terhadap Tunku Nashrul yang juga defendan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas jumlah itu akan dikenakan bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Selain itu katanya, defendan diperintahkan untuk menarik balik kenyataan media yang dibuat pada 10 Jun 2019, dalam tempoh 45 hari bermula Rabu.

"Defendan diperintahkan untuk menerbitkan notis permohonan maaf kepada plaintif dengan kandungannya dipersetujui dan disahkan oleh plaintif sebelum ia diterbitkan.

"Perintah injunksi larangan juga dikeluarkan terhadap defendan supaya tidak mengulangi kesalahan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, defendan juga dikehendaki membayar kos perbicaraan sebanyak RM25,000 kepada Muhammad Yusoff.

Prosiding itu turut disertai peguam, Muhammad Azwar Ab Manab yang mewakili Tunku Nashrul.

Pada 12 September 2019, Muhammed Yusoff memfailkan saman fitnah terhadap Tunku Nashrul berhubung kenyataan media yang dikeluarkan selaku Setiausaha Akhbar di pejabat Anwar pada 10 Jun tahun sama.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Nashrul menunjukkan bahawa plaintif merupakan penyelidik sukarela dan mempunyai masalah disiplin dan dadah. - Sinar Harian