MALAYSIA
Suami didakwa cuba bunuh isteri, diarah jalani pemeriksaan di Hospital Bahagia

Muhammad Nazmi Izzuddin dibawa ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau Pinang atas pertuduhan cuba membunuh isterinya minggu lalu. - Foto Sinar Harian
BALIK PULAU: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang guru lelaki yang didakwa atas pertuduhan cuba membunuh isteri dengan mengelar lehernya bulan lalu, dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin memerintahkan Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30 tahun, menjalani pemeriksaan itu selepas tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa pada prosiding pendakwaan hari ini.
Pada prosiding itu, tertuduh turut kelihatan kebingungan sambil menundukkan kepala.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28 tahun, dengan menggunakan sebilah pisau.Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas kira-kira jam 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Lushani menakala tertuduh diwakili Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.
Semasa prosiding, Lushani memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia bagi pemeriksaan mental.
Beliau memaklumkan, terdapat memo daripada seorang doktor di Hospital Pulau Pinang yang mencadangkan perkara itu.
Peguam tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan selain memaklumkan bahawa anak guam mereka tidak menunjukkan reaksi semasa mereka cuba berkomunikasi.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.
Kes akan disebut semula pada 8 Oktober depan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak mengelar diri sendiri selepas mengelar leher isterinya yang juga seorang guru di bilik tidur rumah mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek dirujuk ke Wad Psikiatri di Jalan Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri susulan kes berkenaan.
Sazalee berkata siasatan awal pihak polis mendapat punca kejadian disebabkan suspek berdepan masalah hutang pinjaman dengan pihak bank untuk pelaburan saham selain menanggung bayaran ansuran pembelian barangan melalui platform, e-dagang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami