Skip to main content

Malaysia

Suami isteri didakwa perdagang pembantu rumah warga Indonesia

71743102937_courtgavel.jpg
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan eksploitasi kerja paksa terhadap warga Indonesia berusia 42 tahun, dengan perbuatan pemerdagangan orang yang bertujuan pengekalan tenaga kerja. -Gambar hiasan

KLANG: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah mereka warga Indonesia dengan eksploitasi kerja paksa pada tahun lepas. 

Muhammad Amir Mirza Kamaruddin, 27, dan Siti Hajar C Ahmad Khalid, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Advertisement

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan eksploitasi kerja paksa terhadap warga Indonesia berusia 42 tahun, dengan perbuatan pemerdagangan orang yang bertujuan pengekalan tenaga kerja.

Muhammad Amir Mirza dan Siti Hajar masing-masing merupakan penolong pegawai perubatan dan pegawai perubatan di dua hospital berbeza, didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Nov 2025, di sebuah kondominium di Ampang. 

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pasangan itu turut berdepan tiga lagi pertuduhan berkaitan di Mahkamah Ampang pada Khamis ini. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan jaminan namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberi jaminan, beliau mencadangkan satu kadar yang tinggi berserta syarat kedua-kedua tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata masih kecil termasuk seorang anak yang mempunyai masalah pernafasan dan memerlukan rawatan lanjut. 

“Kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam di dua hospital kerajaan dan mereka bersedia memenuhi apa-apa syarat yang dikemukakan mahkamah,” katanya yang turut dibantu peguam Zulkifli Awang. 

Mohd Sabri kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 seorang dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan yang ditetapkan. 

Mahkamah turut menetapkan 13 dan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes dan rakaman percakapan mangsa dibuat di hadapan hakim. 

-- BERNAMA

Must Watch Video