KUANTAN: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menganiaya hingga menyebabkan kecederaan fizikal dua kanak-kanak yang juga anak kepada pasangan tersebut pada Januari lalu.

Tertuduh, Nur Syafiqah Rosli, 28, dan suaminya, Noor Aliff Ridzwan Zakaria, 29, masing-masing ibu kandung dan bapa tiri kepada kedua-dua mangsa, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pasangan itu secara bersama menganiaya seorang kanak-kanak perempuan lima tahun dan seorang kanak-kanak lelaki enam tahun sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Perumahan Pandai Damai Bukit Rangin Kuantan pada Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Hamizey Mat Taib.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan tidak boleh menghampiri mangsa yang kini berada di bawah jagaan nenek mereka sehingga kes selesai.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Hamizey Mat Taib dalam rayuan memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh lelaki bekerja sebagai pemandu lori yang berpendapatan RM2,500 sebulan manakala tertuduh wanita pula tidak bekerja.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Julai untuk serahan dokumen.

Mereka juga diminta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu menyerahkan paspot antarabangsa sehingga selesai kes perbicaraan.