Sepasang suami isteri warga emas melecur apabila rumah mereka di Menglembu di sini, terbakar tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, suami melecur 75 peratus pada bahagian badan manakala isterinya melecur 40 peratus di bahagian tangan dan kepala.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada 12.04 malam.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan 30 x 50 kaki persegi, musnah terbakar 80 peratus,” katanya di sini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada 12.04 malam. - Foto JBPM

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berumur sekitar 70-an telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh ambulan Kementerian Kesihatan.

“Anggota bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran hose 100 kaki bersumberkan air dari tangki jentera,” ujarnya.

Katanya, operasi pemadaman turut dibantu oleh anggota pasukan bomba sukarela dari Pekan Baru Ipoh.

Operasi tamat kira-kira jam 1.40 pagi.