MALAYSIA
Suara pelbagai pihak penting perkukuh kerjasama Selatan Global - CROSS

Lee berkata, kerajaan harus bertindak sebagai penyelaras dengan memperkasakan kumpulan pemikir serta menggalakkan media membuat liputan dan laporan yang lebih komprehensif. - Gambar fail/Facebook Lee Chean Chung
KUALA LUMPUR: Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS) menekankan kepentingan penglibatan pelbagai pihak selain kerajaan, termasuk kumpulan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi media, dalam memperkukuh hala tuju masyarakat dan kerjasama negara-negara Selatan Global.
Pengerusi badan pemikir itu, Lee Chean Chung, berkata kerjasama yang lebih luas dapat memperkukuh penyampaian maklumat serta menyumbang kepada pembentukan perspektif baharu yang mampu mempengaruhi dasar dan pemikiran masyarakat di peringkat nasional dan serantau.
"Jika hanya diserahkan kepada kerajaan, ia agak terbatas. Tetapi jika kita libatkan pelbagai pihak, suara itu akan menjadi lebih besar dan berkesan.
"Kerajaan harus bertindak sebagai penyelaras dengan memperkasakan kumpulan pemikir serta menggalakkan media membuat liputan dan laporan yang lebih komprehensif," katanya kepada Bernama di luar Forum Media dan Kumpulan Pemikir Selatan Global 2025 di Kunming baru-baru ini.Lee turut menegaskan bahawa kesepaduan suara ini dapat merangsang pembangunan ekonomi negara-negara Selatan Global, dengan asas kerjasama berlandaskan saling menghormati serta konsensus bersama.
"Tanpa asas ini, pembangunan serantau sukar untuk dicapai. ASEAN dalam konteks ini memainkan peranan penting, dan forum yang dianjurkan di Kunming, terletak di Wilayah Yunan ini misalnya, mencerminkan usaha mengeratkan kerjasama serantau," katanya.
Wilayah Yunan, di barat daya China ini bersempadan dengan tiga negara ASEAN iaitu Laos, Myanmar dan Vietnam.
Ditubuhkan pada 2022, CROSS ialah sebuah kumpulan pemikir bebas Malaysia yang menumpukan kajian dan khidmat nasihat berkaitan isu organisasi, dasar ekonomi serta pembangunan sosial yang mampan.
Ia berperanan sebagai jambatan antara kerajaan, akademia dan industri, di samping mempromosikan dialog serantau menerusi forum dan penerbitan kajian.
Kira-kira 500 peserta terdiri daripada wartawan, ahli akademik, wakil kerajaan dan pemimpin perniagaan dari 110 negara serta pertubuhan antarabangsa dan serantau berhimpun awal September lepas bagi menghadiri Forum Media dan Kumpulan Pemikir Selatan Global 2025 itu.
Forum itu bertujuan mengubah peranan ekonomi Selatan Global yang semakin berkembang - yang merangkumi 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 80 peratus pertumbuhan global - kepada suara yang lebih berpengaruh dalam dialog dan komunikasi antarabangsa.
Turut hadir di forum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Istilah "Selatan Global" merujuk kepada kumpulan negara-negara sedang membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania.
Ia bukan sebuah blok rasmi, sebaliknya konsep geopolitik yang menggambarkan suara kolektif negara membangun dalam menuntut keadilan serta keseimbangan dalam sistem antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami