KENINGAU : Pembangunan di Sabah terutama yang melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik, air dan internet perlu diberi penekanan oleh kerajaan agar negeri itu dapat membangun seiring dengan negeri-negeri lain.

Bagi penduduk pedalaman khususnya di Keningau, mereka beranggapan peruntukan yang lebih besar berbanding sebelumnya perlu diberikan kepada Sabah dengan mengambil kira faktor geografi negeri tersebut.

Menurut Verny Tobing, isu pembangunan yang didepani penduduk di pedalaman negeri itu bukan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah, malah lebih daripada itu.

"Peruntukan pembangunan di Sabah ini perlu dilihat. Sebagai contoh, banjir yang berlaku baru-baru ini, dan lihat keadaan jalan di Sabah, kebanyakannya runtuh.

"Jadi pembangunan untuk jalan sangat penting. Peruntukan yang besar diperlukan untuk jalan, air dan elektrik. Ini adalah tiga asas yang paling diperlukan untuk Sabah.

"Tidak semua daerah memiliki (bekalan) air dan elektrik dan mempunyai jalan yang bagus," katanya.


Peniaga, Verny Tobing yang ditemu bual Astro AWANI menyuarakan isi hatinya sebagai penduduk terhadap kemudahan asas yang diperlukan di kawasan itu. -Gambar Astro AWANI


Menyentuh isu yang sama, seorang peniaga yang ditemui di Bingkor, Noh Malik Shabana berkata, pihak berkaitan perlu memikirkan jalan terbaik bagi memastikan kemudahan perkhidmatan seperti internet dapat dimanfaatkan oleh penduduk dan tidak menjadikan bentuk muka bumi sebagai alasan.

"Sekiranya mahu menambah baik perkhidmatan internet, perkara ini perlu merangkumi semua syarikat kerana ianya tertakluk kepada tempat. Ada yang mempunyai (rangkaian) dan ada yang tidak. Bergantung kepada bentuk muka bumi atau kawasan yang masih berbukit bukau.

"Jadi mereka perlu tampil dengan satu inisiatif. Perkara ini memerlukan kesinambungan," jelasnya.

Sementara itu, bagi sukarelawan Nicklaus Yong, peruntukan yang lebih besar itu dalam masa sama perlu difokuskan juga kepada isu kemudahan air terawat, kerana isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama sehingga memaksa penduduk menggunakan air graviti dan sungai sebagai pilihan.

"Masalah lain yang terdapat di Sabah kini adalah masalah jalan untuk masuk ke kawasan kampung dan masalah air di bahagian itu.

"Sebagai anak muda, saya berharap, kerajaan negeri mengggunakan peruntukan diberi untuk membangunkan Sabah dengan lebih baik dan memberikan fokus buat kawasan pedalaman secepat mungkin," katanya kepada Astro AWANI.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam amanatnya bersempena sambutan Hari Malaysia 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berkata, Sabah dan Sarawak masing-masing bakal menerima RM4.66 bilion dan RM4.47 bilion di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

BACA: RM9.13 bilion diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak - PM

BACA: Kerajaan beri perhatian isu berkaitan Sabah dan Sarawak - PM

Ujarnya, ianya adalah merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran yang saksama.