KUALA LUMPUR: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menggesa kerajaan memberikan mandat dan masa kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk membersihkan nama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

SUARAM dalam satu kenyataan bersama 39 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), merujuk kepada pendedahan Abdul Hamid pada Mac lalu mengenai kewujudan kartel polis yang didakawa bersekongkol dengan penjenayah, antaranya membabitkan kes Geng Nicky.

“Adakah kesinambungan usaha Ketua Polis Negara dalam pembersihan PDRM akan diteruskan jika kontrak beliau ditamatkan?

“Adakah penggantinya akan menyambung kerja yang ditinggalkan Ketua Polis Negara atau adakah kemungkinan kita akan melihat nama-nama yang dikatakan bersekongkol dengan penjenayah itu akan kembali bertugas dan mengambil jawatan tertinggi dalam PDRM?” soal SUARAM.

BACA: "Anak buah sendiri pengkhianat" - KPN dedah 34 anggota penguat kuasa sekongkol dengan Geng Nicky

SUARAM dalam masa sama turut menggesa supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentang dan ditubuhkan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu

“IPCMC adalah vaksin terbaik untuk mengubat masalah korupsi, salah guna kuasa dan jenayah dalam PDRM.

“Ia juga akan menyelamatkan PDRM dan membela anggota-anggota PDRM yang menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan berintegriti,” menurut kenyataan itu lagi. 

BACA: "Bukan mirip, memang benar audio itu suara saya" - Hamzah Zainuddin

Tambah SUARAM, pemilihan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara harus dilaksanakan melalui proses yang lebih telus dan berintegriti.

Abdul Hamid yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-12 pada 12 Mei 2019 bakal menamatkan perkhidmatannya pada 2 Mei ini.

Serentak itu, timbalan beliau, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 4 Mei ini.

Pengumuman pelantikan Acryl Sani dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Polis Negara ke-13 di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Menurut Hamzah, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Hamzah sebelum ini menafikan campur tangan beliau dalam pertukaran pegawai-pegawai kanan polis dan menjelaskan bahawa sebarang urusan pertukaran pegawai adalah berdasarkan keputusan majoriti daripada SPP.

Dalam masa yang sama, beliau hari ini mengakui, rakaman audio perbualan mengenai pertukaran jawatan dalam PDRM yang tular baru-baru ini merupakan suara beliau.