SEJAK kebelakangan ini, terdapat kebimbangan ketara dalam kalangan masyarakat berhubung peningkatan kes COVID-19.

Ia semakin heboh diperkatakan selepas China, yang masih bertarung dengan gelombang kes COVID-19 yang tinggi, mengumumkan akan membuka sempadannya pada 8 Januari ini.

Kami telah bertanyakan kepada anda di pelbagai platform Astro AWANI.

Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi -  Gelombang COVID-19: Perlu sekat pelancong China?

Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Selasa.

Daripada 5,815 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 95 peratus responden menyatakan pelancong China perlu disekat daripada memasuki negara ini.

Sebanyak empat peratus pula berkata tidak perlu, manakala baki satu peratus tidak kisah.

Keputusan Suara Malaysia hari ini

Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.