Skip to main content

Malaysia

"Suasana di Lembah Klang tak sama" - Terengganu nilai keperluan bekerja dari rumah - MB

KUALA TERENGGANU, 13 Nov -- Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Terengganu (Bajet) 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.  Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri itu.  -- fotoBERNAMA
Ahmad Samsuri berkata keperluan pelaksanaan kaedah BDR bagi penjawat awam akan dinilai dengan mengambil kira perbezaan situasi antara negeri. - Gambar fail

KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu sedang menilai keperluan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri dalam mendepani impak krisis tenaga global berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setakat ini pelaksanaan BDR bagi penjawat awam negeri masih di peringkat penilaian, dan sebarang keputusan rasmi berhubung perkara tersebut belum dimuktamadkan.

Advertisement

"Perkara ini masih belum dibawa ke peringkat mesyuarat dan kita sedang menilai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata keperluan pelaksanaan kaedah BDR bagi penjawat awam akan dinilai dengan mengambil kira perbezaan situasi antara negeri.

"Kita masih lagi menilai mana-mana yang ada keperluan sebab suasana di Lembah Klang tidak sama dengan suasana di Tengganu. Di Lembah Klang kebanyakan masa dihabiskan di atas jalan raya, berjam-jam dan sebagainya itu memberi kesan kepada penggunaan bahan api, petrol yang agak kritikal dalam waktu yang akan datang ini. 

“Situasi itu tidak begitu berlaku di Terengganu, namun kita akan terus menilai dan melihat sama ada terdapat keperluan untuk melaksanakan kaedah BDR,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bertujuan berkongsi perkembangan terkini ekonomi serta langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dalam menangani tekanan yang sedang dihadapi.

"Jadi kita ada peranan di peringkat negeri yang boleh diambil untuk menangani kedudukan ekonomi semasa yang tertekan sekarang ini serta turut mengambil langkah-langkah di peringkat negeri yang saya tidak akan perincikan pada hari ini.

“Kita masih lagi menilai tentang kesan khususnya impak terbesar terhadap pentadbiran kerajaan negeri. Jadi kita akan menggembleng kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, kerajaan Persekutuan dan sebagainya bagi menangani cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat. Usaha bersama ini penting agar tekanan ekonomi dapat diminimumkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video