Suasana pilu iringi pengebumian mangsa culik Abu Sayyaf

Radhi Muslim
April 12, 2019 11:26 MYT
Isteri dan bapa Jari menyiram air di pusara mangsa culik itu selepas selesai majlis pengebumian di Kampung Sim-Sim, Sandakan, hari ini. Astro AWANI
Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis pengebumian rakyat Malaysia yang terkorban selepas menjadi mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf, pada Jumaat.
Allahyarham Jari Abdullah, 34 tahun, selamat dikebumikan pada jam 9.35 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim, dekat sini.
Jari meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terkena tembakan ketika menyelamatkan diri dari menjadi tebusan.
Sebelum itu, jenazah Jari tiba di Lapangan Terbang Sandakan, jam 7.50 pagi ini.
Jenazah kemudiannya dimandi, dikafan dan disolatkan di Surau Al-Furqan, Kampung Sim-Sim, di sini.
Mangsa meninggal dunia Selasa lalu di sebuah hospital di Bandar Zamboanga, Filipina, selepas dirawat kira-kira lima hari.
BACA: Ibu kru kapal yang hilang sebak mengenang anak
Pada 4 April, Jari parah selepas terkena tembakan di kepala dan dada ketika menyelamatkan diri daripada menjadi tebusan kumpulan Abu Sayyaf, di Pulau Simusa, Sulu.
Allahyarham kemudiannya ditemui pasukan keselamatan Filipina sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
BACA: Jenazah mangsa culik Abu Sayyaf akan dibawa pulang ke Sabah
Mangsa, seorang nelayan, diculik bersama dua lagi nelayan - Heri Ardiansyah, 19 tahun, dan Hariadin, 45 tahun - kedua-duanya rakyat Indonesia, di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Dis lepas.
Pada 5 April, dalam pertempuran antara tentera dan penculik Abu Sayyaf di laut, Hariadin dilaporkan meninggal dunia manakala Heri berjaya diselamatkan.
BACA: Empat hilang dalam insiden tembakan di perairan Pegasus Reef
#Abu Sayyaf #culik #Filipina #hilang #Indonesia #Jari Abdullah #jenazah #Kinabatangan #meninggal dunia #pengebumian #rakyat Malaysia #Sandakan #tebusan