Subahat lakukan CBT: Mahkamah Rayuan kekal keputusan bebaskan bekas pegawai kanan Felda

Azmi, dalam penghakimannya, berkata rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengan penemuan Mahkamah Tinggi. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan bekas pegawai kanan Felda daripada dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana Felda lebih RM47 juta yang didakwa dilakukan 11 tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azmi Ariffin secara sebulat suara membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Datuk Faizoull Ahmad bagi kesalahan itu.
Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, memutuskan bahawa tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas serta membebaskan bekas Ketua Pengarah Felda berusia 65 tahun itu.
Azmi, dalam penghakimannya, berkata rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengan penemuan Mahkamah Tinggi.
"Justeru itu, tiada sebab untuk kami campur tangan berhubung keputusan dan penemuan Mahkamah Tinggi," katanya sambil mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen.
Faizoull didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan bersubahat dengan bekas Timbalan Ketua Pengarah Felda (Sumber Strategik) iaitu Muhammad Sufi Mahbub bagi melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana sebanyak RM47.63 juta.
Muhammad Sufi telah didakwa dengan sengaja dan secara tidak jujur telah meluluskan pembayaran RM25,999,000 dan RM21,626,500 yang berjumlah RM47,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda atau Jawatankuasa Tendernya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney antara 13 Jan dan 23 Julai 2014.
Pada 8 Jun 2018, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan kedua-dua tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Muhammad Sufi bagi setiap pertuduhan dan dua tahun terhadap Faizoull bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman berjalan serentak.
Bagaimanapun, pada 22 Sept 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Faizoull dan mengetepikan sabitan terhadapnya selain memerintahkan agar dia dilepas serta dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan.
Bagi Muhammad Sufi, Mahkamah Tinggi telah membatalkan rayuan beliau dan rayuan balas pendakwaan selepas beliau meninggal dunia semasa prosiding itu. Muhammad Sufi berusia 58 tahun ketika itu.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Radzi Shah Ab Razak dan Elyza Amira Habeeb Rahman hadir bagi pihak pendakwaan manakala Faizoull diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Sukri Mohamed.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


