KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memutuskan kriteria kelayakan bagi golongan yang layak menerima subsidi bersasar.

Begitupun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kini kementerian sedang membangunkan pusat data yang komprehensif yang turut melibatkan beberapa agensi.

Menurutnya, ia bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian berdasarkan data yang diperolehi.

Satu pasukan petugas khas telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan, agensi yang terlibat.

“Ia bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan pemberian subsidi secara bersasar dan mengenalpasti kaedah yang bukan sahaja berkesan malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan yang paling minimum kepada kerajaan.

“Ini termasuklah mengumpul data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Tambah beliau, kerajaan komited dalam melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN - Putrajaya) yang bertanya bila subsidi bersasar akan dilaksanakan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.